Rabu, 25 Desember 2013

Browse Manual » Wiring » » » » » » ADUN Kadamaian Umumkan Keluar PKR

ADUN Kadamaian Umumkan Keluar PKR


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Jeremy Malaja @ Malazad telah mengumumkan hari ini untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi ADUN bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN), lapor Malaysiakini.com.

Spekulasi ada ADUN dari Sabah akan keluar meninggalkan parti ekoran ketiadaan dua pemimpin PKR Sabah pada pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hujung minggu lalu sekali lagi bagai mengiyakan bahawa kedua-dua pemimpin itu tidak berpuas hati dengan parti itu.

Seorang lagi ADUN yang dikatakan sudah mempunyai masalah dengan kepimpinan PKR ialah ADUN Matunggong Jailani Hamdan tetapi menurutnya, beliau belum sampai ke tahap ingin meninggalkan parti.

Ketika dihubungi, Jailani memberitahu “Saya belum mencapai tahap itu lagi. Walau bagaimanapun saya tidak menolak kemungkinan meninggalkan parti.” katanya memetik laporan mstar online.

Jailani berkata, beliau dan Jeremy tidak menghadiri mesyuarat perhubungan PKR Sabah dengan Anwar pada 1 Oktober lepas kerana mereka melihat tidak ada gunanya untuk mereka menghadirinya.

“Kami tidak boleh bekerja dengan ketua PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin lagi,” katanya, Isnin.

Beliau berkata, Anwar dan Lajim telah mengabaikan panggilan berulang mereka untuk mendapatkan wakil yang lebih baik untuk masyarakat Kadazandusun – Rungus dalam barisan kepimpinan negeri.

Khususnya, Jailani berkata, mereka telah meminta jawatan timbalan pengerusi PKR diisi wakil Kadazandusun – Rungus seperti mana yang dijanjikan Lajim tetapi kemudiannya melantik Adun Api-Api, Christina Liew.

“Saya tidak menentang sesiapa tetapi terdapat tiga Adun dan ahli Parlimen daripada masyarakat Kadazandusun – Rungus dalam PKR. Apa yang kita minta adalah keadilan,” katanya.

Beliau berkata sebagai ketua PKR Sabah, Lajim sengaja mengenepikan pemimpin Kadazandusun dan Rungus.

Beliau berkata, Anwar juga telah menamakan Lajim sebagai ketua pembangkang di Sabah tanpa berunding dengan Adun PKR dan DAP dengan sebaiknya.

Jailani berkata, ramai di kalangan Adun PKR dan DAP tidak memihak kepada Lajim yang menjadi ketua pembangkang.

“Malah di peringkat awal perbincangan nama Lajim tidak disuarakan tetapi tiba-tiba beliau dinamakan sebagai ketua pembangkang,” katanya.

Sumber : Mstar Online dan Malaysiakini.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar