Rabu, 01 Januari 2014

Browse Manual » Wiring » » » » » » » » PENTING Antara Lawatan Obama Dan Agenda TPPA

PENTING Antara Lawatan Obama Dan Agenda TPPA


DALAM agama dan adat Melayu kita, kehadiran tetamu hendaklah diraikan, dimuliakan.

Ia sesuai dengan hadis Rasulullah yang berbunyi,

“ Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah ia memuliakan tamunya” (HR Bukhari dan Muslim).

Seperti yang kita maklum, Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama juga bakal menjadi ‘tetamu’ kita tak lama lagi.

Beliau dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Ke-4 (GES) 2013 di Kuala Lumpur pada 11 Oktober yang akan menandakan lawatan pertama beliau ke Malaysia.

Terdahulu dari itu, para pemimpin dunia akan berhimpun di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2013 di Bali, Indonesia, dari 5-7 Oktober.

Rasanya kita sebagai rakyat tidak ada masalah untuk menyambut, bahkan meraikan kehadiran beliau.

Obama boleh dapat ‘first class treatment’ sesuai dengan statusnya.

Tetapi ada satu perkara yang kita gusar, resah dan bimbang.

Bukan kehadirannya secara fizikal itu, tetapi ‘agenda’ pemimpin negara Uncle Sam berkenaan yang sedang giat mempromosikan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Dah ramai nula bercakap-cakap yang TPPA akan dimeterai pada bulan Oktober ini di antara kerajaan Malaysia dan sekumpulan sebelas negara-negara lain iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, Brunei, Chile, Peru, Mexico, Singapore, Vietnam dan Jepun.

Sejauh mana kebenaran itu, Wallahualam.

Baik, apa itu TPPA?

Ia adalah sebahagian usaha korporat gergasi AS yang mendesak kepada agenda memperluas dan mengukuhkan penguasaan mereka dengan mengetepikan hak warga dunia negara Selatan.

Perjanjian itu antaranya akan melibatkan peraturan ubat generik yang murah dan mempunyai kandungan dan kesan sama dengan ubat asli tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.

Ini bermakna ubat hanya boleh dibeli secara langsung daripada syarikat farmasi asal yang akan menyebabkan kos ubat mahal.

Ini berlaku kerana dalam perjanjian TPPA dalam Hak Harta Intelektual ke atas ubat dikuatkuasakan untuk melindungi syarikat gergasi farmaseutikal antarabangsa.

Lebih merisaukan lagi ialah TPPA bakal memberi kesan buruk ke atas industri padi negara apabila beras dari USA yang menerima subsidi tinggi akan dipasarkan di negara ini.

Ratusan ribu keluarga petani padi di negara ini akan terjejas jika TPPA dimeterai.

Termasuk dalam agenda rundingan TPPA ialah juga bidang pelaburan dan khidmat undang-undang dan pelbagai khidmat profesional tempatan yang lain akan berhadapan persaingan pasaran terbuka.

Persoalannya sejauh manakah industri perkhidmatan kita sedia berhadapan dengan kemasukan syarikat gergasi ini?

Apa yang harus diketahui rakyat Malaysia ialah rundingan TPPA ini sangat berisiko tinggi untuk Malaysia kerana klausa yang terkandung di dalamnya boleh merangkumi hampir semua industri dan mewujudkan persaingan yang akan merugikan ekonomi tempatan.

Seperti FTA, kesan perjanjian TPPA akan berakhir dengan kerugian yang akan ditanggung oleh usahawan tempatan serta membebankan kualiti hidup rakyat dan meningkatkan kos hidup rakyat keseluruhannya.

Kebaikan TPPA

Namun ada yang pihak yang menyifatkan kebimbangan TPPA akan merugikan Malaysia adalah tidak berasas.

Ini kerana sudah tentu negara akan melindungi kepentingan ekonomi dan perdagangan negara semasa berlangsungnya perbincangan itu nanti.

Kata mereka, sebagai sebuah negara perdagangan, adalah penting untuk Kuala Lumpur menyertai TPPA bagi mendapatkan akses yang lebih besar ke pasaran-pasaran rakan dagangannya yang lain terutamanya Amerika Syarikat, Jepun dan Asean.

Bahkan ada yang berpendapat, orang ramai PASTI diberi jaminan yang para perunding Malaysia akan melindungi kepentingan perdagangan dan ekonomi domestik negara dan yang paling penting Dasar Ekonomi Baru (NEP).

Dakwa mereka, pelaburan dan perdagangan tidak dapat dipisahkan, dan untuk itu, ia adalah satu kelebihan besar kepada Malaysia dari segi peluasan pasaran dan aliran masuk pelaburan.

Contohnya, industri tekstil mendapat sokongan padu TPPA, sambil menyatakan yang jumlah eksport tekstil dan pakaian Malaysia diunjurkan meningkat 20 peratus dengan pelaksanaan perjanjian itu.

Persatuan Pengeluar Tekstil Malaysia berkata penghapusan duti di bawah perjanjian perdagangan itu akan menjadikan produk tekstil dan pakaian Malaysia lebih berdaya saing.

Eksport ke negara anggota TPP pada 2012 berjumlah sehingga RM3.3 bilion.

Perjanjian TPP akan menyaksikan penurunan duti import untuk produk tekstil dan pakaian Malaysia yang memasuki negara-negara anggota TPP.

Pasaran global

TPPA juga dijangka dapat mengembangkan eksport negara-negara yang menyertai ke asas pasaran global yang lebih luas dan menyediakan asas produk yang murah kepada pengguna.

Ini adalah menerusi penurunan tarif yang dicadangkan di kalangan negara-negara yang menyertai.

Dengan cadangan penghapusan ataupun penurunan dalam perjanjian TPP, produk Malaysia akan lebih berdaya saing, terutamanya di pasaran AS.

KESIMPULAN

Apapun, dalam mana-mana perjanjian perdagangan, mesti ada sikap tolak ansur dengan yang perlu dibuat oleh mana-mana negara.

Tetapi yang paling penting, para perunding Malaysia perlu lebih berhati-hati.

Kita perlu diberi jaminan yang TPPA akan memberi manfaat kepada Malaysia.

Kita faham, mesej penting bagi perbincangan TPPA ialah untuk industri domestik dan ekonomi menjadi lebih berdaya saing dalam persekitaran globalisasi yang begitu mencabar ini.

Namun pada masa yang sama – kita lebih bimbang yang ia hanyalah ‘udang di sebalik mee’.

Obama boleh datang ke Malaysia, merasa nikmatnya durian dan berjalan-jalan di KLCC.

Namun kalau beliau datang untuk tujuan ‘yang lain’, kita tidak dapat menerima kehadirannya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar